Mendaki Pergunungan Ilmu Ilahi...

Bismillah, Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui serta Yang Maha Mengurniakan ilmu kepada hambaNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Sayyidina wa Maulana Muhammad ibni Abdillah, pembimbing manusia ke arah redha Allah S.W.T. Serta ke atas keluarga baginda dan juga para sahabat serta para pengikut sahabat. Amma ba'du.

Assalamualaikum Warhamatullah.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana diizinkan sekali lagi untuk berkongsi kepada para pembaca serba sedikit mengenai perjalanan ilmu yang pernah saya hadapi. Walaupun bergelar seorang pelajar aliran sains, itu tidak menjadi suatu alasan bagi saya untuk tidak menuntut apa yang difardhukan dalam syariat Islam. Bahkan, seorang pelajar aliran sains, mereka lebih melihat atsar (kesan) kekuasaan Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran.

 "Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran siang dan malam, padanya terdapat tanda (keagungan Allah) bagi orang yang berfikir"

Memandangkan subjek yang dipelajari dalam aliran sains berteraskan ilmu aqli, maka apa yang dipelajari dapat dilihat lebih mendalam apabila pelajar tersebut menilai kebenaran Allah 'Azza Wa Jalla. Pernah sekali, semasa saya sedang mempelajari bab mengenai pensenyawaan dan pertumbuhan manusia dalam subjek Biologi, saya teringat akan beberapa ayat dalam surah Al-Qiyamah, Al-Mu'minun dan surah-surah lain yang menjelaskan mengenai proses kejadian manusia, padahal Surah itu diturunkan pada zaman di mana ilmu Biologi tidak wujud lagi. Juga, hadis yang disusun oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Arba'in nya, terdapat hadis yang menyebutkan secara tepat mengenai tempoh kejadian manusia. Pelik, Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang saintis, bukan juga seorang bidan, tetapi baginda telah mengetahui proses kejadian manusia yang terhijab dari pandangan mata kasar. Bagaimana baginda dapat memperoleh ilmu mengenai perkara itu? Tidak lain dan tidak bukan, datangnya dari Allah Yang Maha Perkasa.

Bahkan, Allah s.w.t banyak menegaskan kepentingan akal dan berfikir dalam Al-Quran, cuma perlu diingatkan, akal haruslah digunakan mengikut landasan wahyu, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika tidak, jadilah kita seperti golongan Mu'tazilah yang mengutamakan logiknya sesuatu perkara tersebut, bukannya mengikut landasan wahyu dan sunnah.

'Ala kulli hal, saya ingin berkongsi mengenai beberapa kitab yang telah saya pelajari dan masih mempelajarinya, diharapkan agar kitab yang saya kongsikan ini dapat menjadi cadangan bagi para penuntut ilmu agama memulakan kembara ilmunya.


1. Ilmu Aqidah dan Usuluddin

Aqidah menurut bahasa ertinya pegangan, menurut istilah syarak pula, aqidah bermaksud pegangan atau ikatan kepercayaan seorang Muslim. Usuluddin pula secara kasarnya bermaksud 'asal agama' atau 'pokok agama'. Maka, apabila dikumpulkan kedua kalimah ini, jadilah ia nama ilmu yang paling penting yang menjadi asas dalam kehidupan seorang Muslim. Bahkan ilmu aqidah inilah yang membezakan sama ada seseorang itu seorang Islam ataupun sebaliknya.

Ilmu aqidah dan usuluddin membincangkan tentang kepercayaan kita sebagai seorang Muslim. Tambahan pula, ilmu aqidah dan usuluddin ini memperhalusi setiap rukun Iman yang enam itu. Yang paling penting sekali adalah, kepercayaan dan keimanan kepada Allah, kerana menurut apa yang disabdakan oleh Nabi yang mulia, "Awal agama itu adalah mengenali Allah". Maka bagaimana kita boleh mengakui diri kita ini seorang Muslim jika kita tidak mengenal siapa yang kita sembah. Bahkan, pada zaman ini, muncul pula banyak firqah (fahaman) yang memesong dari aqidah sebenar umat Islam.

Kitab pertama yang saya pelajari adalah kitab Faridatul Faraaid, yang dikarang oleh Syeikh Ahmad Al-Fathoni. Di dalam kitab ini merungkaikan secara ringkas dan padat mengenai sifat Allah, sama ada yang wajib, mustahil dan harus bagiNya. Hal ini dapat dipelajari melalui sifat 20 yang digariskan oleh Al-'Alimul 'Allamah, Al-Imam Abul Hasan Al-'Asy'ari, dan disenarai pendekkan oleh anak muridnya, Al-Imam Abu Mansur Al-Maturidi menjadi kepada 13 sifat. Terdapat juga bab yang membincangkan mengenai persoalan aqidah yang lain seperti sifat Rasul, Malaikat, Kitab, Hari Qiyamat dan Qada' serta Qadar. Tambahan pula, kitab ini merupakan kitab kuning yang mengekalkan bahasa melayu tradisional, serta agak sukar dibaca tanpa talaqqi. Alhamdulillah, setelah penat mencarinya, saya telah mendapatkan kitab Faridatul Faraaid yang dialih bahasa kepada bahasa melayu kontemporari.


Kitab kedua yang saya pelajari adalah kitab I'tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dikarang oleh K.H. Sirajuddin Abbas. Kitab ini bersifat kontemporari kerana menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Tambahan pula, di dalam kitab ini, Tuan Pengarang telah membezakan i'tiqad atau pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan beberapa firqah yang lain seperti Mu'tazilah, Jabbariyyah, Syiah, Khawarij, Jahmiyyah, Mujassimah dan Qadariyyah. Amat sesuai sekali bagi setiap lapisan masyarakat yang ingin mengenali lebih lanjut mengenai kebatilan aqidah yang terpesong itu, di samping membetulkan aqidah kita agar selari dengan fahaman Rasulullah s.a.w.
Bagi mendalami ilmu aqidah, saya dalam proses mengkhatamkan bacaan kitab Aqidatun Najin dan juga kitab Bakuratul Amani. Kitab Aqidatun Najin merupakan karangan Syeikh Zainal 'Abidin ataupun dikenali sebagai Tuan Minal, manakala kitab Bakuratul Amani atau sinonim dipanggil dengan nama kitab Bakurah, telah dikarang oleh Syeikh Ismail bin Abdul Qadir Al-Fathani. Kedua-dua kitab ini memperhalusi secara mendalam mengenai ilmu aqidah dan usuluddin ini. Bahkan, kedua-dua kitab ini diperakui ketinggian ilmunya, bahasanya dan faktanya. Walaupun baru memulakan bacaan kitab ini, saya terasa terlampau jahil kerana ilmu yang sedikit yang saya miliki ini amatlah rendah, bagaikan setitis embun yang dijatuhkan ke dalam laut, begitulah misalnya ilmu saya jika dibandingkan dengan ilmu para ulama'.
Termasuk dalam cabang ilmu aqidah merupakan ilmu mengenai alam ghaib, hal ini termasuklah alam ruh, alam rahim, alam barzakh dan alam akhirat. Jadi kitab yang sesuai bagi mengenali alam yang kita telah dan bakal kita tempuhi adalah kitab Peringatan Umur Insan yang dikarang oleh Al-Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad. Kitab ini membincangkan secara ringkas tetapi padat mengenai lima fasa kehidupan manusia iaitu alam roh, alam rahim, alam syahadah, alam barzakh dan alam akhirat.

2. Ilmu Al-Quran

Mengenai ilmu A-Quran, terbahagi kepada banyak cabang, ada ilmu tafsir, tajwid, ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan juga ilmu tadabbur. Pesanan salah seorang murabbi saya, beliau menekankan terhadap dua ilmu Al-Quran iaitu tafsir dan juga tadabbur.

Sebelum itu, tafsir maksudnya ialah ilmu yang berkaitan dengan apa yang diterjemahkan dari Mushaf Al-Quran dan juga apa yang hendak disampaikan oleh Allah S.W.T melalui ayat-ayat Al-Quran. Manakala tadabbur pula adalah ilmu yang berkaitan dengan menggali maksud Al-Quran dan juga mengambil iktibar daripada ayat-ayat Al-Quran. Walaubagaimanapun, dalam sistem sekolah agama dan juga pondok, ilmu Al-Quran yang penting adalah ilmu tatabahasa Arab seperti ilmu nahu, ilmu sharaf, ilmu balaghah dan sebagainya.

Saya berpendapat bahawa ilmu tatabahasa Arab merupakan ilmu tambahan agar lebih difahami apa yang dibicarakan dalam Al-Quran, hal ini kerana, setiap huruf, baris, kalimah dan susunan ayat Al-Quran, ada sebabnya mengapa ia disusun sebegitu. Dan diakui juga oleh para cendekiawan di Timur dan Barat bahawa kesusasteraan dan kekuasaan bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Quran amat luar biasa, sebab itulah bangsa Quraisy di zaman Nabawi dahulunya tergamam apabila mendengar keindahan bahasanya. Akan tetapi, tidak gunalah seandainya kita menguasai bahasa Al-Quran akan tetapi gagal untuk memahami apa yang disampaikan oleh Allah melalui Al-Quran.

Kitab tafsir Al-Quran yang amat terkenal, dan yang merupakan paling awal yang saya pelajari adalah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Mushaf Terjemah dan juga tafsir ini amat 'detail' sekali penterjemahannya, dan juga disebut mengenai pengenalan surah-surah di dalam Al-Quran.
Selain itu, saya juga telah mempelajari tafsir Al-Quran melalui sebuah kitab tafsir yang tidak kurang juga kehebatannya. Kitab tersebut adalah Kitab Tafsir Al-Munir yang dikarang oleh Allahyarham Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili, yang digelar sebagai ensiklopedia Islam kontemporari. Al-Marhum Syeikh telah menyusun kitab ini dengan sangat mantap dan indah, bahkan kitab tafsir yang terbaik bagi memulakan perjalanan ilmu Al-Quran. Kitab tafsir ini dipecahkan kepada 30 juzuk apabila deiterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, sebagaimana juzuk-juzuk yang terdapat dalam Al-Quran. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan tafsir ini pada juzuk ke 30. Kupasan yang dilakukan oleh Al-Marhum Syeikh mudah difahami bagi mereka yang memiliki asas yang sedikit dalam ilmu bahasa Al-Quran.

3. Ilmu Hadith

Sebagaimana ilmu Al-Quran, ilmu yang bersangkut paut dengan Hadith adalah ilmu tatabahasa. Berbeza sedikit dengan ilmu tafsir, ilmu hadith sinonimnya digelar dengan ilmu musthalah (istilah yang digunakan), sebagai contoh, istilah sanad, musnid, sahih, dhaif, rijal hadtih, tsiqqah, rawi dan sebagainya. Ilmu hadith merupakan ilmu yang penting setelah ilmu aqidah dan ilmu Al-Quran, hal ini kerana hadith merupakan sandaran kedua yang tertinggi dalam kehidupan seorang muslim. 

Kitab terawal yang saya pelajari adalah Syarah Matan Arba'in Nawawi, iaitu Syarah 40 Hadis Imam Nawawi yang disyarah (dihurai) oleh Al-Fadhil Ustaz Mustafa 'Abdurrahman. Dalam kitab ini padat dengan ilmu musthalah, ilmu syarah, ilmu sanad dan sebagainya. Walaupun syarahnya panjang, akan tetapi ia mudah difahami.
Selain itu, saya juga mempelajari kitab Riyadhus Sholihin karya Imam An-Nawawi. Hadith yang dimuatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitab beliau semuanya berstatus sahih dan hassan. Tambahan pula, Kitab Riyadhus Sholihin ini merupakan kutipan hadis daripada kitab-kitab hadis yang masyhur seperti Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim, Sunan At-Tirmizi, Sunan Abu Dawud, Musnad Imam Ahmad dan sebagainya.
Di samping itu, saya juga menghadiri bacaan hadith dari kitab Muntakhab Ahadith yang disusun oleh Maulana Syeikh Zakariyya Al-Kandahlawi. Kitab ini sinonim dengan Jemaah Tabligh yang menekankan dakwah dan tarbiyyah. Alhamdulillah, atas izin Allah, saya dapat membezakan martabat-martabat hadith yang terdapat dalam kitab tersebut. Walaupun kitab ini menjadi buah mulut ramai para ulama' mengenai statusnya yang memuatkan banyak hadis dhaif, saya memandang kitab ini sebagai sebuah kitab yang amat berkat. Bayangkan saja, kitab ini merupakan sandaran utama Jemaah Tabligh di Malaysia (selain daripada kitab Fadhilat Amal) telah berjaya mengislamkan ramai orang non-Muslim, bahkan saya pernah menerima kunjungan Jemaah Tabligh yang berjaya membawa ramai anak muda kembali ke jalan Allah.
Seterusnya, saya juga membaca beberapa kitab hadith kecil (tetapi besar nilainya) yang mengumpul hadith sahih dan hasan mengenai tajuk tertentu. Sebagai contoh, Kitab 40 Hadis Penawar Hati, Kitab 40 Hadis Ilmu dan Ulama', Kitab 40 Hadis Akhlak Mulia, dan Kitab 40 Hadis Akhir Zaman yang semuanya merupakan susunan Syeikhuna Ahmad Fahmi Zamzam. Selain itu, saya juga mempelajari kitab Mukhtarul Hadith dan Nurul Iman yang disusun oleh Sayyidil Habib Umar Bin Hafiz. Walaupun hanya terdapat 40 - 50 buah hadis di dalam kitab kecil tersebut, tetapi nilainya amat besar dan amat sesuai bagi mereka yang ingin mempelajari hadith.

4. Ilmu Fiqh

Ilmu fiqh mencakupi seluruh Syariat Islam, atau lebih dikenali sebagai manual kehidupan seorang muslim. Ilmu Fiqh terbahagi kepada lima bahagian:

-Taharah yang mencakupi kebersihan dan kesucian
-Ibadah yang mencakupi solat, puasa dan zakat 
-Mu'amalat yang mencakupi urusan seharian manusia seperti jual beli, pergaulan dan ekonomi 
-Munakahat yang mencakupi urusan perkahwinan, hadhanah dan talak
-Jinayat yang mencakupi hal-hal berkaitan hukum hudud, qisas dan di'at

Kitab yang terawal yang saya pelajari adalah Kitab Ilmu Fiqh yang dikarang oleh H.M. Arsyad Thalib Lubis. Kitab Fiqh ini amat ringkas dan padat, mencakupi segala aspek dalam ilmu fiqh. Mashaa Allah, kitab ini saya warisi dari ibu saya sendiri, walaupun kitab ini kitab lama, tetapi bagi saya amat berharga.  Malangnya, kitab ini sudah tidak dicetak lagi dan tidak lagi dijual pada zaman kini. In shaa Allah, saya dalam proses menulis semula kitab ini dan memudahkan bahasanya, semoga usaha itu diberkati Allah, amin.

Seterusnya, kitab fiqh yang saya pelajari juga yang saya rasa amat sesuai dipelajari oleh semua lapisan masyarakat adalah Kitab Syarah Safinatun Naja yang disusun oleh Ustadh Muhadir B Haji Joll. Kitab yang padat dan bersesuaian dengan zaman kini.


5. Ilmu Tasawwuf

Ilmu tasawwuf, menurut pemahaman saya secara peribadi adalah seperti yang dinyatakan oleh Sayyidil Habib Umar Bin Hafiz, bahawa ilmu tasawwuf ini adalah ilmu berkaitan akhlak. Kata beliau "Siapa yang bertambah akhlaknya, maka bertambah tasawwufnya. Ilmu ini berkait dengan kemuliaan diri; zuhud, sabar, sopan, tahan marah dan sebagainya." Ilmu tasawwuf pada zaman kini sering disilapkan dan dipertikaikan dek kerana perbuatan beberapa kumpulan yang mengamalkannya secara batil. Bahkan ilmu tasawwuf inilah yang merupakan mesej terutama Islam setelah mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah. Kerana apa? Kerana jika kita lihat dalam hadith yang dikumpulkan oleh Al-Imam Bukhari, hanyalah 3000 daripada 600,000 buah hadith yang beliau kumpulkan berteraskan fiqh (hukum hakam). Selain daripada itu, semuanya berteraskan akhlak dan penyucian jiwa insan. Akan tetapi, golongan yang mengotori ilmu tasawwuf ini hanyalah tidak lain dan tidak bukan, ingin memesongkan umat Islam, in shaa Allah, saya akan membahaskan perkara ini di masa hadapan.

Kitab terawal yang saya pelajari dalam bidang ilmu ini adalah Kitab Bidayatul Hidayah yang dikarang oleh Imam Al-Ghazali. Kitab ini juga, amat mudah difahami dan berkait dengan kehidupan kita seharian. Kitab ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu cara melaksanakan ketaatan dan cara meninggalkan kemaksiatan. Al-Marhum guru saya lebih menegaskan bahagian kedua kitab ini iaitu cara meninggalkan kemaksiatan, kerana meninggalkan maksiat adalah lebih utama daripada melakukan ketaatan.
Selain itu, saya juga telah mempelajari kitab Khuluquna yang dikarang oleh Al-Habib Umar Bin Hafiz. Kitab ini bersifat kontemporari dan amat sesuai bagi memperbetulkan akhlak kita. Di dalam kitab ini, Al-Habib Umar menyebutkan mengenai tiga akhlak, iaitu akhlak kepada Allah, akhlak kepada manusia, dan adab kepada diri sendiri. Alhamdulillah, saya telah mengkhatamkan kitab ini bersama dengan guru saya iaitu Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.


Kesimpulannya, pendakian ilmu Ilahi ini amat panjang dan takkan sesekali kita dapat menandinginya. Yang penting adalah kita cuba untuk menuntut ilmu ini melalui sumber yang sahih, iaitu duduk berhadapan dengan para Ulama', ataupun kita boleh juga merujuk ceramah-ceramah mereka yang dirakam serta dimuat naikkan di laman YouTube. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menempuhi jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.

Wallahu a'lam bis sawab
Abi Ridha Al-Jauhari,
Darul Ridha, Kulai, Johor,
9 Jamadil Awwal 1437.



Comments

Popular posts from this blog

Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Dengan Nama Allah.