Sebuah Kematian...
Tandanya semakin jelas,
Apabila rambut semakin memutih,
Apabila tulang semakin rapuh,
Apabila sendi semakin longgar,
Apabila wajah semakin berkedut,
Tidakkah engkau sedari?
Tandanya semakin jelas,
Apabila hidungmu telah jatuh,
Apabila tapak kakimu telah lurus,
Apabila wajahmu telah pucat,
Apabila matamu telah hilang sinarnya,
Apabila wajahmu telah hilang minyaknya,
Tidakkah engkau rasai?
Dingin membeku,
Dari hujung jari kaki berpindah ke pinggang,
Dari pinggang berpindah ke dada,
Dari dada berpindah ke kerongkong,
Perlahan-lahan rohmu dicabut,
Pedih sekali bagaikan ditikam-tikam,
Tetapi engkau tidak mampu menyatakan apa-apa.
Anak binimu di kelilingmu,
Mengalir air mata mereka menangisi kesakitanmu,
Diajarkan kepadamu menyebut kalimah yang satu,
Agar dikau tidak hina di hadapan tuhanmu,
Tapi apakan daya,
Matamu hanya melihat sang pencabut nyawa di hadapanmu.
La ilaha illa Allah!
Akhirnya berpisah rohmu dari jasadmu,
Berterbangan dirimu menuju yang Maha Esa,
Hanya tinggal jasadmu yang mengeras kaku,
Akhirnya diurus oleh warismu.
Aduhai insan!
Aduhai anak Adam!
Aduhai semangkuk daging dan tulang!
Bukankah dahulunya engkau sibuk dengan dunia ini?
Bukankah dahulunya engkau berebut-rebut mencari harta?
Bukankah dahulunya engkau sanggup melakukan apa sahaja,
Asalkan nafsumu puas?
Bukankah dahulunya engkau sibuk menggagahkan tubuhmu?
Bukankah dahulunya engkau sibuk membuktikan dirimu benar?
Bukankah dahulunya engkau sibuk mengejar pangkat yang dusta?
Ke mana perginya hartamu yang berbilion itu?
Kini sibuk direbutkan oleh anak cucumu
Ke mana perginya tubuh perkasamu?
Kini diurai oleh cacing dan tanah
Ke mana perginya pangkat tinggimu?
Kini engkau hanya digelar "Al-Marhum"
Aduh pedihnya melihat manusia yang mengejar dunia,
Tertipu dengan segala kecantikannya,
Tidakkah dia membaca Kalam Yang Maha Esa?
Bahawa hidup hanyalah seketika?
Aduh sedihnya melihat penyesalan mereka,
Akhirnya dia sedar bahawa apa yang dia kejar hanyalah dusta,
Harta, wanita, pangkat dan takhta,
Kini mengeluh di hadapan malaikat yang bertanya.
Ingatlah wahai insan,
Bacalah dengan hatimu yang bersih,
Bahawa dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat,
Hanyalah umpama satu kerdipan mata.
Beruntunglah bagi mereka yang sedar akan penipuan dunia,
Dia menjadikan tempohnya yang pendek ini,
Untuk beramal dan bertaubat.
Nukilan:
Abi Ridha Al-Jauhari,
Darul Ridha, Kulai, Johor,
10 Jamadil Awal 1437.
Comments
Post a Comment