Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Bismillah, Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya dan para sahabat, serta ke atas semua yang menjalani jalan yang lurus ini.

Amma ba'du.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pada post kali ini, saya ingin mengungkap satu kata-kata bahasa Arab. Lau la murabbi, ma 'araftu Rabbi. Maksudnya, "Kalau bukan kerana guruku, tidak akan aku mengenali Tuhanku"

Insan pendidik, banyak perkataan yang menggambarkannya; cikgu, guru, sensei, master, teacher, grandmaster, tokku, mu'allim, ustaz, Habib dan lain-lain. Yang penting, mereka inilah yang terlampau banyak jasa mereka pada kita, bahkan, pada pendapat saya, golongan yang paling utama selepas kedua orang tua kita adalah para guru kita.

Kita semua ada guru yang mengajar kita membaca, mengira, menulis dan sebagainya. Ilmu asas, tadika lah tempatnya. Saya teringat lagi zaman tadika, bermula di situlah saya belajar lebih lanjut tenteang agama setelah diajar oleh kedua orang tua saya. Silibus yang boleh dikatakan 'cliche' , bermula dengan buku "bacalah adikku", kemudian mengenal alam sains, mengira menggunakan kacang hijau, belajar mewarna dan menulis serta melukis, dan tak lupa juga, pembelajaran agama seperti asas fardhu ain.

Setelah itu bergerak melangkah ke alam persekolahan di peringkat rendah. Sebagai seorang anak kelahiran negeri Johor, atau tanah Al-Jauhar, majoriti anak Johor akan mempelajari di sekolah agama negeri, sebagai pemantap kepada silibus duniawi yang dipelajari di sekolah aliran kebangsaan. Di sini jugalah saya makin mengenali dunia, walaupun saya ini sangat degil ketika tempoh itu, tambahan pula dengan latar belakang yang senang, lagilah mudah bagi saya untuk 'explore' dunia tanpa batasan.

Kemudian, setelah 6 tahun di peringkat rendah, berhijrah pula ke peringkat menengah, dan rezeki yang Allah kurniakan, saya melanjutkan pelajaran di negeri Tok Gajah, Pahang. Pengalaman 5 tahun di situlah yang benar-benar membentuk diri ini, untuk mengenal Allah, mengenal Rasulullah dan memupuk akhlak nabawi dalam diri yang kerdil ini. Di sini jugalah, ramai para guru yang mendidik saya tanpa henti, tidak mengenal penat lelah dalam mendidik.

Tetapi, tujuan saya menulis pada kali ini, adalah untuk memuliakan para guru dan 'alim rabbani yang pernah saya ambil ilmu daripada mereka, dan yang telah membimbing saya serta memimpin tangan saya untuk mendekatkan diri kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus
Bermula pada tahun 2010, Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus mula dikenali oleh rakyat Malaysia. Sinonim dengan gurauan dan sindirannya, saya mula mengenali beliau di YouTube, di situlah saya mendengar kuliah dan ceramah yang disampaikan olehnya. Sambil bergelak ketawa, saya banyak memperoleh ilmu. Dan banyak juga kata-katanya yang menyentuh hati saya, dan menambahkan azam saya untuk mendalami ilmu agama, walaupun saya bukanlah pelajar aliran agama.

"Kita kat dunia ni kejap je, guane kalau tak nok tamboh amalan kita?"

Itulah yang menyentap hati saya.

Al-'Allamah Syeikhuna Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki
Syeikh Nuruddin merupakan seorang Ulama' kelahiran Banjarmasin, Indonesia. Saya mengenal beliau pada tahun 2012, melalui beberapa kitab dan juga ceramah beliau yang saya dengar. Kata-katanya indah, ilmunya luas, berwibawa orangnya. Beliau digelar Al-Azharul Thani, iaitu Universiti Al-Azhar yang kedua, kerana keilmuan beliau yang amat tinggi, dan hafalan beliau yang amat kuat. Tak dilupakan, beliau merupakan seorang 'alim yang beramal dengan ilmunya.

Apabila saya mendengar ceramah dan kuliyyah beliau, terasa diri ini teramat jahil, faqir dan hina. Bertambahlah keinginan saya untuk mendalami ilmu agama, tambahan pula, saya banyak mengikut gaya beliau dalam penyampaian. Walaupun diri ini bukanlah ulama', mahupun seorang ustaz, tapi saya ingin mendapat keberkatan dalam bertasyabbuh (menyerupai) beliau. Dan juga, anak-anak murid beliau yang saya amat hormati dan menjadi tempat rujukan saya, iaitu Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal dan juga Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll As-Senariy.

Ternyata, keilmuan Syeikhuna Nuruddin tampak pada dua orang ustaz ini.

Al-'Alimul 'Allamah, Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Hanya satu perkataan yang layak dinisbahkan kepada beliau, 'Permata'. Kelembutan kata-katanya, keindahan budi pekertinya, wajahnya yang tidak pernah lekang daripada senyuman, serta ketinggian ilmu beliau, amat bermakna bagi saya. Saya mengenali beliau pada tahun 2013, kerana ketika itu, Majlis Ta'lim Darul Murtadza mula dikenali oleh ramai umat Islam. Kali pertama saya mendengar tausiyah beliau adalah melalui rakaman Malam Cinta Rasul yang diketuai oleh Sayyidil Habib Syech Bin Abdul Qadir As-Seggaf. Allah~ Indah bicara, sesuai dengan dirinya yang merupakan keturunan Nabi Muhammad s.a.w.

Bagi saya, senadainya kita ingin mengenali dan mengikuti Nabi Muhammad, cukuplah dengan melihat pada dua insan, iaitu beliau sendiri dan juga guru beliau yang mulia iaitu Sayyidil Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin  Hafiz.

Beliau merupakan ulama' yang sering saya temui, majlis beliau dihadiri oleh ratusan bahkan ribuan pencintanya, sehinggakan apabila beliau ingin meninggalkan majlis, semua jemaah ketika itu akan berebut untuk mencium tangannya dan menyentuh bahunya. Bahkan pernah jadi suatu ketika, ada yang sanggup bertolak sehingga mengendahkan keselesaan beliau.

Antara majlis yang mana saya dapat rapatkan kedua lutut saya pada beliau adalah Majlis Tafaqquh Ilm Johor. Majlis yang diadakan di beberapa buah Masjid di sekitar Johor Tengah. Selalunya saya akan bertemu dengan beliau di Masjid Sultan Iskandar di UTM Skudai. Syukur ke hadrat Ilahi, saya diberi peluang untuk duduk betul-betul di sebelahnya.

Masyaa Allah, Tabarakallah.

Memang benar-benar terasa rendah diri ini, dari segei ilmu dan amal, dan juga dari segi fizikal, memandangkan Al-Habib Ali merupakan seorang yang tinggi lampai orangnya.

Dan, jasa beliau yang terbesar adalah mengenalkan saya kepada kekasih abadi, Nabi Muhammad s.a.w, dan juga ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

Al-Hafiz Al-'Alimul 'Allamah, Sayydil Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafez
Pengasas Darul Musthofa, Tarim, Yaman.
Yang terakhir, dan guru yang paling saya cintai, Sayyidil Habib Umar Bin Hafez. Beliau merupakan seorang Ulama' yang Rabbani, Ad-Daie ila Allah, Jiwanya hanya untuk Allah dan Rasulullah, Dan beliau juga merupakan keturunan Nabi Muhammad S.A.W.

Saya mengenali beliau sekitar tahun 2011, semasa saya terbaca sebuah buku mengenai biografi beliau, serta merta saya jatuh cinta kepadanya. Setiap apa yang beliau lakukan, benar-benar selari dengan Nabi Muhammad s.a.w, makannya, duduknya, jalannya, solatnya, kata-katanya, akhlaknya dan segala tindak tanduknya.

Al-Habib Umar dikatakan mencapai darjat Al-Hafiz dalam bidang hadith, yang bermaksud beliau menghafal lebih daripada 100,000 hadis beserta sanad dan matannya. Ma shaa Allah, kelebihan yang amat tinggi. Di zaman kini, ramai sekali yang bergelar Al-Hafiz dalam bidang Al-Quran, tetapi tidak ramai yang bergelar Al-Hafiz dalam bidang hadis. Bahkan pada pendapat saya, beliau telah mencapai darjat Hakim, iaitu yang menghafal 300,000 buah hadis, cuma dek kerana tawadhuk, beliau tidak mengkhabarkannya.

Beliau juga seorang yang faqih, menguasai Mazhab Syafie sepenuhnya, dan beliau banyak mengarang risalah kecil akan tetapi padat isinya dan tinggi kedudukan risalahnya. Antaranya, kitab Khuluquna yang membicarakan mengenai akhlak nabawi, saya telah mengkhatam kitab ini di hadapan Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin pada tahun 2015. Selain itu, beliau menyusun kitab Mukhtarul Hadith dan Nurul Iman yang kedua-duanya merupakan kitab himpunan hadith sahih.

Beliau banyak menjalankan Program Daurah di institusi beliau iaitu Darul Mustafa. Dan beliau juga banyak melakukan Rehlah (tour) di negara-negara Islam dan bukan Islam, sebagai contoh, Malaysia sendiri, Singapura, Afrika Selatan, Sepanyol, Amerika Syarikat dan lain-lainnya. Keilmuan beliau diakui oleh ramai ulama' zaman kini, dari para gurunya terdahulu sehinggalah anak muridnya kini serta ulama' yang sama zaman dengan beliau, bahkan Syeikhuna Nuruddin pernah menyatakan bahawa Dunia Arab telah memiliki istijabah (penerimaan) daripada beliau.

Saya pernah bertemu dengan beliau di Majlis Ta'lim Darul Murtadza semasa Rehlah beliau ke negara kita pada tahun 2014, dan syukur ke hadrat ilahi, saya berpeluang untuk duduk hampir kepada beliau.
Salah seorang murid beliau, yang merupakan guru saya yang amat dihormati yang mana beliau enggan disebut namanya, telah menyambung sanad am saya kepada beliau. Walaupun saya ini hanyalah hamba Allah yang lemah, tetapi Alhamdulillah, saya diizinkan menyambung pertalian saya kepada beliau walaupun hanyalah sanad yang boleh dianggap tiada nilai di sisi ulama', akan tetapi saya amat menghargainya.

Semoga Allah memanjangkan umur para guru saya ini, serta dirahmati dan sentiasa ditambahkan ilmunya serta bertambah manfaat ilmunya. Dan saya berharap agar saya sentiasa menjadi ahli ilmu dan dapat berkongsi ilmu saya kepada semua umat Islam, seandainya diizinkan oleh Allah.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Ingatlah, walaupun guru kita berbeza, kita tidak boleh sama sekali merendahkan mana-mana ulama' kerana mereka ini merupakan pewaris para nabi. Kedudukan mereka di sisi Allah amatlah tinggi dan terutama, sehinggakan hampir mustahil bagi kita untuk mencapai darjat seperti mereka. Akan tetapi, marilah ambil keberkatan daripada mereka ini semua, walaupun kita tidak dapat jadi seperti mereka, sekurang-kurangnya kita dapat mencontohi dan mengambil ilmu mereka.

Wallahu a'lam bis sawab,
Abi Ridha Ali Al-Akbar,
Darul Ridha, Johor,
16 Rabiul Akhir 1437,

Comments

Popular posts from this blog

Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Dengan Nama Allah.