Allah, Tuhanku dan Tuhanmu

Bismillah, Dengan NamaMu Ya Allah, Tuhan Yang Memiliki segala apa yang berada di langit dan di bumi, Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Sayyidina wa Maulana Muhammad, Sayyidil Wujud, serta ke atas keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.


Amma ba'du.


Pada kali ini, saya tergerak hati untuk berkongsi pemikiran saya yang serba kekurangan ini. Lebih kurang 10.30 pagi tadi, saya ambil masa untuk buka laman Facebook, yang telah menjadi rutin harian saya sejak beberapa bulan dapat kemudahannya. Jadi saya 'scroll' laman itu, dan terlintas di hadapan mata mengenai isu yang hangat diperkatakan hingga kini. Isunya saya enggan nak sebut kerana boleh jadi ia mengundang suatu fitnah.

Saya yang kekurangan ilmu ini, terfikir sejenak. Apa yang menyebabkan 'mereka' semua itu saling bertelingkah, bergaduh, bermujadalah bahkan saling mengkafirkan antara satu sama lain? Bukankah mereka itu masih lagi Islam? Bukankah mereka itu semuanya ahli La ilaha illa Allah? Bukankah mereka itu umat Nabi Muhammad s.a.w? Bukankah mereka itu semua menyembah Allah Yang Satu? Bukankah semuanya menghadap ke arah kiblat yang satu?

Ya, benar. Mereka semua adalah satu, hanya berlaku khilaf (perbezaan) antara mereka. Saya tidak menyokong mana-mana pihak, kerana bagi saya, cukuplah saya mengenal siapa Allah, dan siapa Rasulullah s.a.w. berdasarkan apa yang dijelaskan oleh para Salafussoleh yang jauh lebih berilmu dari saya.

Teringat kembali suatu kejadian, semasa tempoh saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Fitrah seorang pelajar, ada saja masalah yang dihadapinya, tak kisahlah, masalah pembelajaran, bercinta, sosial atau masalah yang berkait dengan agama. Jadi, semasa tempoh yang boleh dianggap sebagai "gegak gempita peperangan", saya berasa lemah, dan boleh dikatakan putus asa. Saya mengambil keputusan untuk berehat di Surau, seusai menunaikan solat Dhuha, saya mencapai senaskhah Al-Quranul Karim, Alhamdulillah, walaupun sudah khatam, saya mengulang saja.

Diselak satu persatu... Muka surat... Demi muka surat... Demi muka surat...

Saya pun tutup sebentar naskhah itu, lantas menghadapkan diri ke arah kiblat, lalu berbisik kepada Allah, "Ya Allah, apa yang Engkau Kehendaki bagiku pada hari ini? Tunjukkanlah kepadaku suatu ayat yang Engkau Redhai bagiku untuk mendalaminya".

Dibuka semula naskhah pada muka surat yang rawak, lalu saya terbaca sepotong ayat "Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang Menyembuhkanku".

Allah~

Ayat itu betul-betul menyentuh hatiku, bagaikan Allah 'Azza wa Jalla bercakap terus pada diri ini, dan secara kebetulan, ketika itu juga saya menghidap demam panas, maka bertambahlah perasaan yang tidak dapat dinyatakan.

Saya perhatikan ayat itu, dan saya cari permulaan kisah yang mengandungi ayat itu. Rupa-rupanya, ayat itu merupakan sebahagian daripada kata-kata Nabiyullah Ibrahim a.s kepada kaumnya. Surah Ash-Shu'araa, ayat 69 hingga 89.



Seperti yang dibacakan oleh tuan imam ini, potongan yang benar-benar menyentuh hati saya. Jadi saya pun mengulang berkali-kali ayat itu, sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Tamim Ad-Dari r.a , beliau mengulang ayat itu sehinggalah beliau dapat memahami ayat itu.


Berkali-kali saya ulang, dan atas izin Allah, saya dapat menghafal potongan ini dalam masa sehari. Tetapi, bila saya mendalami ayat ini, saya mengenal Siapa Allah. Hakikatnya, Dialah yang menciptakan kita, lalu Dialah yang memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki. Dialah yang memberi kita makan, dan memberi kita minum. Apabila kita sakit, Dialah yang menyembuhkan kita. Dan apabila kita berdosa, Dialah yang mengampunkan kita di hari akhirat kelak.

Mengalir air mata saya tatkala mengulang ayat ini. "Ya Allah, Engkau mengetahui keadaan diriku, sedangkan aku ini hambaMu yang penuh kekotoran dan kehinaan, Bagaikan Engkau ingin menyatakan kepadaku, bahawasanya Engkau Mengampunkan dosaku. "

Bermula ketika itulah, saya sedar, cukuplah ayat ini untuk menerangkan kepada diri saya, siapa Allah 'Azza Wa Jalla. Tuhan Yang telah banyak memberi, dan sikit pula Dia meminta kepada kita.

Dialah yang sentiasa berada dengan kita, di mana sahaja kita berada, Dialah yang memberi ketenangan tatkala kita dalam ketegangan, Dialah tempat kita mengadu nasib kita tatkala tiada siapa membantu kita atau mendengar rintihan kita. Dialah Allah, Yang Maha Pengasih, Yang memiliki nama-nama yang Terbaik, Tuhan yang kita banyak sangat berhutang kepadaNya. Dialah yang memiliki rahsia langit dan bumi, dan hanya Dia sahaja yang mengetahui hakikat DiriNya.

Kita hanyalah hamba, siapalah kita untuk mencabar Allah s.w.t , seorang hamba tidak layak untuk mengetahui rahsia tuannya, melainkan apa yang diberitahu oleh tuannya itu.

Mutaakhir ini, kita dihebohkan mengenai beberapa hamba Allah yang menyamakan Allah dengan makhluk, nauzubillah, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan. Bahkan ada yang bertindak bagaikan Allah, mereka menghukum sekalian manusia sesuka hati, mengkafirkan sesuka hati, menghukum orang lain syirik dan akhirnya menyatakan mereka inilah golongan yang benar. Tidakkah mereka takut pen
gadilan Allah di hari milikNya kelak?

Kita bukanlah tuhan yang memiliki segalanya, dan kita juga bukanlah nabi yang maksum. Jadi, siapa kita ini? Tak lebih dari seorang hamba Allah yang hina, datang dari saluran yang kotor, terhasil dari air yang kotor, apa hak kita untuk meletakkan orang lain lebih rendah dari kita?

Janganlah kita ini merasakan diri kita lebih baik dari orang lain. Ya! Mungkin di atas muka bumi ini kita memiliki kelebihan dari orang lain, tapi nilai sebenar diri ini hanyalah Allah yang tahu. Boleh jadi, orang yang kita hina itu adalah mulia di sisi Allah, dan boleh jadi orang yang kita muliakan itu adalah sangat hina di sisi Allah.

Tidak ada yang sepertiNya.

Allah s.w.t, tidak dapat kita kenali dalam tempoh yang singkat, tidak dapat kita kenali melalui nafsu kita, hanya dapat dikenali melalui orang yang telah mengenaliNya. Cukuplah bagi kita untuk mengenali, bahawa Allah adalah Tuhan kita yang Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Dan janganlah kita mudah memuliakan diri kita yang sudah terang lagi bersuluh, amat hina.

Ayuh, kita muhasabah diri kita yang serba kekurangan ini. Ingatlah, apabila seseorang itu mengucapkan kalimah tauhid, maka haramlah bagi kita untuk mengkafirkannya dan menisbahkannya kepada sesuatu yang batil. Allahul Musta'an.

Hamba Allah yang Faqir,
Abi Ridha Ali Al-Akbar,
Darul Ridha,
16 Rabiul Akhir 1437.

Comments

Popular posts from this blog

Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Dengan Nama Allah.