Ilmu Dunia, Ilmu Akhirat...

Bismillah, Dengan Nama Allah, Tuhan yang mengajar insan apa yang tidak ia ketahui, serta selawat dan salam ke atas pendidik umat, penerang zulmat, Sayyidina Muhammad ibni Abdillah, serta ke atas keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang mengikuti mereka hingga ke hari kiamat.

Amma Ba'du.

Assalamualaikum Warahmatullah,

Ilmu. Perkataan yang sibuk sekali dibicarakan dari satu lisan ke lisan yang lain, tambahan pula, dunia yang semakin berkembang serta bertambah maju selari dengan arus pemodenan, ilmu ini ditekankan kepentingannya untuk memajukan seseorang. Bahkan ilmu pada zaman kini, amat dihargai dan dimanfaatkan. Lihat saja, berapa banyak institusi keilmuan yang wujud di negara kita.

Dari Institusi Pengajian Tinggi, hinggalah ke institut kefahaman dan keilmuan serta maklumat. Bahkan, kehebatan salah satu Universiti Tempatan telah meletakkan "ranking"nya dalam senarai Universiti terulung di dunia. Budaya ilmu itu telah dipupuk dari seorang insan itu masih lagi muda, bak kata pepatah, umur setahun jagung, darah setampuk pinang. Belajar mengira, menulis, melukis, membaca dan sebagainya.

Apabila insan itu berhijrah ke peringkat seterusnya, dia mula mempelajari ilmu yang lebih luas, seperti penyelesaian masalah, mengarang, membuat puisi, seni halus dan sebagainya. Semakin tinggi peringkat tersebut, semakin maju ilmu yang dipelajari. Sebagai contoh, seorang pelajar yang berumur 17 tahun, telah pun mempelajari asas bagi kejuruteraan dalam subjek fizik dan matematik tambahan. Hebat sekali jika kita perhatikan waktu kini.

Akan tetapi, realitinya adalah, ilmu tersebut hanyalah ilmu fardhu kifayah, yang mana hanya wajib dipelajari oleh beberapa individu sahaja, ilmu fardhu ain pula, semakin hari, semakin pudar, hanyut ditelan arus pemodenan. Salah siapa? Adakah salah insan yang ingin belajar? Ataupun salah ibu yang mengandung? Haruslah kita muhasabah diri kita.

Saya teringat, kalam seorang Ustaz yang amat saya hormati dengan keilmuan beliau, iaitu Tokku Pasir Gudang, Al-Fadhil Ustaz Mat Esa Deraman. Beliau menyatakan bahawa zaman kini, ibu bapa lebih risau kalau anak-anak tidak mengenal huruf dan nombor berbanding dengan keadaan apabila anaknya tidak mengenal Allah. Mereka lebih risau apabila anaknya tidak dapat menjawab soalan peperiksaan dan tidak takut jika anaknya tidak dapat menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir kelak.

Renungkanlah bersama.

Lihatlah dalam surat khabar, dalam berita atas talian di laman facebook dan sebagainya. Berapa ramai anak bangsa yang semakin hilang nilai akhlaknya? Perhatikan sahaja, nama mereka itu bukanlah nama agama Buddha mahupun Kristian, tetapi majoritinya adalah nama Islam, seperti Muhammad, Ahmad dan Aminah. Hakikatnya, pemuda Islam pada zaman kini, yang dikatakan cerdik belajar, tidaklah secerdik mana yang disangkakan.

Tidakkah mereka memiliki kesedaran untuk menuntut ilmu fardhu ain? Atau, adakah mereka memahami apakah maksud fardhu ain?

Tidak hairanlah, pada zaman kini, ilmu 'sekular' semakin dititik beratkan, akan tetapi ilmu asas, ilmu yang Allah wajibkan bagi kita untuk tuntutnya tidak dipelajari oleh para pemuda. Dan, tidak hairan juga jika kita dapat melihat para pemuda ini melakukan perkara yang tidak melambangkan seorang muslim. Pemakaiannya, percakapannya, hiburannya dan sebagainya. Maaf, tetapi kenyataannya adalah, akhlak semakin luntur dalam jiwa remaja.

Dek kerana terlampau mementingkan pelajaran sains, ilmu aqidah ditinggalkan, jahil dan tidak mengenal siapa dia Yang Maha Esa.

Dek kerana terlampau mementingkan pelajaran sastera, ilmu fiqah dibuangkan, jahil dan tidak mengerti cara bersuci dan solat.

Dek kerana terlampau mementingkan pelajaran matematik, ilmu tasawwuf dipinggirkan, jahil dan tidak memiliki sifat dan akhlak yang diajarkan oleh Islam.

Inilah implikasi apabila ilmu fardhu 'ain tidak dipelajari. Bahkan, saya sendiri pernah menemui seorang hamba Allah yang sebaya dengan usia saya, apabila ditanya mengenai aqidah, dia hanya tersenyum menandakan tidak tahu. Apabla ditanya tentang solat dan bersuci, dia hanya diam menandakan kecetekannya. 

Demi Allah, bukanlah saya mahu merendahkannya, dan bukan juga saya ingin memalukannya. Tetapi, apabila kita jahil ilmu fardhu ain, YA! Kita patut merasa kekurangan. Kerana kita dilahirkan sebagai seorang Islam, dan telah lama hidup di atas muka bumi ini. Ada yang 18 tahun, 25 tahun, 40 tahun, 50 tahun dan ada yang sampai 70 tahun. Tetapi sayang, seribu kali sayang, solatnya masih berterabur, wudhuknya masih tidak sempurna.

Tetapi apabila ditanya mengenai ilmu duniawi, dengan bangganya dia mengatakan, "aku dahulu selalu mendapat pointer 4.00" "aku memiliki ijazah sekian dan phd sekian". Bangga sekali. Bahkan apabila adanya orang yang tidak setanding dengannya, dia memandang rendah pada insan tersebut.

Demi Allah, saya rasa amat malu apabila melihat adik-adik tahfiz yang telah berjaya menghafal 10 juzuk pada usia 10 tahun. Dan makin tebal muka saya apabila berbual dengan seorang adik tahfiz yang berjaya mengkhatamkan hafazannya ketika berumur 15 tahun. Allahuakbar, semasa saya 15 tahun, masih lagi sibuk dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Bahkan ketika itu tidak faham langsung mengenai aqidah, fiqah dan tasawwuf melainkan apa yang dipelajari dalam silibus yang ditetapkan.

Ingatlah, Allah sama sekali tidak akan melihat 'Degree', 'Master' dan 'PhD' yang kita miliki. 

Allah tidak akan menilai langsung segala syarikat yang menjadi kebanggaan kita. 

Allah tidak akan menilai walaupun sedikit kekayaan yang berjaya kita kumpulkan. 

Allah akan nilai ketaqwaan yang ada dalam hati kita. Allah akan nilai iman dalam hati kita.

Adalah lebih baik seandainya kita ini jahil ilmu dunia, tetapi sekurang-kurangnya kita kenal siapa Allah, dan siapa Rasulullah. Sekurang-kurangnya kita dapat solat dengan sempurna. Sekurang-kurangnya kita tidak melanggar segala perintah Allah s.w.t

Sebagai kesimpulan bagi post kali ini, bukanlah saya ingin merendahkan mana-mana pihak, cuma saya ingin kita semua duduk dan bermuhasabah, siapa diri kita ini? Bukankah kita ini hamba Allah? Adakah kita sudah menunaikan hak Allah secara sempurna? Tepuk dada, tanyalah iman. Selagi mana kita memiliki kudrat untuk menuntut ilmu agama, pergilah. Janganlah berasa malu untuk bertanya, biarlah kita malu di dunia, jangan sampai kita dimalukan di hari pembalasan kelak.

Wallahu a'lam bis sawab,
Abi Ridha Ali Al-Akbar,
Darul Ridha, Kulai, Johor,
17 Rabiul Akhir 1437.

Comments

Popular posts from this blog

Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Dengan Nama Allah.