Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan Salam ke atas Rasulillah, serta ahli keluarga baginda, para sahabat, serta mereka yang menuruti mereka di atas jalan kebenaran. Amma ba'du

Assalamualaikum dan salam mahabbah kepada para pembaca blog saya, mudah-mudahan Allah merahmati kita semua, insya Allah

Aib. Perkataan yang kita selalu sangat dengar, dan bila kita nilai semula perkataan itu, kita akan faham bahawa ia merujuk kepada sesuatu perkara yang mana terdapat pada semua orang. Tidak ada satu manusia pun yang terkecuali dari memiliki keaiban ini melainkan orang-orang yang dipilih oleh Allah, sebagai contoh para nabi dan rasul

Apa itu aib?

Aib adalah sesuatu kekurangan yang wujud pada diri seseorang itu, sama ada kekurangan pada fizikalnya, mentalnya atau spiritualnya dan kekurangan itu akan membuatkan seseorang itu malu seandainya diketahui oleh orang lain.


Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak

Lebih kurang begitu la peribahasa yang kita selalu dengar. Maksudnya, aib atau kekurangan orang lain, kita boleh nampak, bahkan disebarkan ke seluruh alam. Akan tetapi keaiban yang ada pada diri kita, kita tidak nampak. Padahal diri kita ini jauh lebih banyak kekurangan berbanding orang lain.

Kenapa?

Sebabnya, apabila kita menuding jari terhadap kekurangan orang lain, sebenarnya kita menuding terhadap kekurangan diri kita sendiri iaitu sifat takabbur; suatu perasaan yang mana kita merasakan diri kita lebih baik dari orang lain. Selalu juga kita dengar, satu jari tuding pada orang lain, empat jari ditudingkan kembali kepada kita.

Bahkan kalau kita lihat zaman kita ini, ditambah pula dengan kemajuan teknologi, macam-macam platform yang wujud yang membolehkan berita disebarkan kepada orang lain. Budaya 'viral' yang kita lihat zaman sekarang ni boleh dikatakan parah. Terutamanya apabila perkara yang diviralkan itu berkait dengan urusan peribadi seseorang itu

Sebagai contoh, kesilapan yang berlaku kepada seseorang insan pada waktu jahilnya, dibongkar dan digali lalu disebarkan ke seluruh dunia

Perangai yang tidak elok yang ditunjukkan oleh sesetengah 'page' atau akaun, asal ada je berita sensasi, habis disebarkan. Orang buat silap, disebarkan. Orang pakai pakaian yang pelik, dimalukan. Orang tersalah cakap, habis dihina.

Terkadang kita nampak perkara itu seperti kelakar, hanya sekadar hiburan semata-mata. Tetapi kita tak tahu apa perasaan orang yang dimalukan itu. Sudah tentu dia menanggung malu yang besar, tak mampu nak tunjuk mukanya di mana-mana. Sedangkan kita? Cubalah perkara yang kita tertawakan itu berlaku ke atas diri kita. Baru kita sedar betapa hebatnya perasaan itu. Bahkan, andainya orang yang ditertawakan itu tidak dapat mengawal perasaannya, ataupun kurang imannya, barangkali dia akan melakukan perkara di luar jangkauan akal kita, contohnya, bunuh diri.

Jagalah Aibmu!

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Allah merahmati orang yang sibuk dengan keaiban dan kekurangan dirinya, dan tidak menyibukkan diri dengan keaiban orang lain"

Dalam hadis lain, Junjungan kita menyatakan, "Barangsiapa yang menutup aib saudaranya, maka Allah akan menutup aibnya. Baransiapa yang membuka aib saudaranya, maka Allah akan membuka aibnya"

Terkadang, kita ini sengaja mencari kekurangan orang yang kita benci dan hasad padanya. Kita akan berusaha sedaya upaya mencari kekurangan yang ada pada dirinya. Kadang-kadang, sampai ke satu tahap kita akan memfitnah orang tersebut.

Masalah ini puncanya dari kurangnya kita memandang terhadap diri kita sendiri. Seandainya kita asyik memandang terhadap apa yang ada pada orang lain, maka kita akan merasa cemburu, timbulnya tidak syukur, bahkan akan mempersoalkan mengapa Allah beri kepada dia sesuatu yang kita tak dapat.

Cubalah kita ini merenung terhadap diri kita sendiri. Apa yang kita lakukan, dosa yang pernah kita buat, siapa kita di sebalik pandangan manusia, apa yang kita lakukan tatkala manusia tidak melihat kita. Bila kita merenung kembali terhadap kesilapan diri sendiri, maka kita akan sedar, rupa-rupanya kita ini lebih banyak salah dari betulnya.

Sebab itulah, apabila seseorang itu sedar akan kekurangan yang wujud pada dirinya, dia akan sedar, bahawa Allah telah menutup kekurangannya itu dari pandangan manusia. Inilah dia sifat Allah, As-Sattar, yang Maha menutup kekurangan hambaNya. Ramai para solihin menyatakan, andainya Allah membuka aibnya, sudah pasti tidak akan ada seorang pun yang akan mendekatinya

Kesimpulannya, kita kenal siapa diri kita, kita tahu bahawa Allah melihat diri kita dalam keadaan terbuka mahupun tertutup. Kita masing-masing ada dosa peribadi kita, tetapi penyayangnya Allah SWT itu, walaupun banyak sangat dosa dan kekurangan kita, Dia masih lagi memberi kita peluang untuk bertaubat. Sibukkanlah diri kita dengan merenung serta muhasabah diri kita, apa yang telah kita lakukan dan adakah kita ini telah bertaubat dari segala kesilapan kita

Mudah-mudahan, Allah menutup segala kesilapan kita di dunia dan akhirat, serta diampunkan segala dosa serta kesalahan kita. Ameen, Allahumma Ameen.

Wallahu a'lam



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Bismillah, Dengan Nama Allah.