"Macam mana laa penuntut ilmu sains dll boleh jadi penuntut ilmu agama?"

Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan Salam ke atas Rasulillah serta ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang menuruti mereka di atas jalan kebenaran.

Alhamdulillah, pada hujung minggu lepas, saya berpeluang menghadiri Daurah kitab Matan Abi Syuja' yang dibahaskan oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faiz Fateh Al-Azhari di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi. Sebelum ni pernah juga bertalaqqi dengan Ustaz Faiz sewaktu di PASUM dahulu, tapi dek kerana waktu yang singkat, tidak dapat mengkhatamkan kitab tersebut

Ahad petang, terus bergerak ke Majlis Asmaul Husna bersama Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, kebetulan pula diminta untuk hadir pada majlis tersebut, jadi naiklah Grab menuju ke MRT Kajang. Pemandu kereta waktu tu pula merupakan salah seorang student di UKM, baru saja tamat tahun ketiga dalam bidang Nuclear Physics.

Berbual dengan abang tu, dan dia kata "Ohh, dekat Bangi ni memang macam tu, bersepah-sepah majlis ilmu, daurah, talaqqi dan banyak lagi la. Boleh pilih, kalau Ustaz kat masjid ni garang, pergi pindah masjid lain. Kalau tak faham kitab ni, boleh talaqqi sekali lagi dengan Ustaz lain. Ada saja majlis-majlis ilmu ni"

"Teringat pula, waktu tu jumpa dengan seorang 'PU' (Pencetus Ummah) ni, dia kata pelik, macam mana budak Sains, Medic dan sebagainya boleh jadi alim dalam agama?" katanya

Bagi saya, tidak pelik langsung sebenarnya, bahkan persoalan 'PU' itu tak munasabah menurut pandangan saya yang faqir ini. Bukanlah bermaksud untuk merendahkan beliau, tidak sama sekali. Cuma saya amat tidak setuju dengan kenyataan beliau.

Agama Bukan Untuk Pelajar Agama Saja

Ini pandangan pertama saya. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda "menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim" Riwayat Ibnu Majah. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu fardhu 'ain iaitu ilmu yang mencakupi aspek Ibadah, Aqidah dan Akhlak. Walaubagaimanapun, ada juga ulama yang menjelaskan bahawa kalimah 'ilmu' itu tidak merujuk kepada ilmu fardhu 'ain semata-mata, temasuk juga ilmu Sains, Matematik, Perniagaan dan sewaktu dengannya. Itulah dia kehebatan sabdaan Rasulullah, insya Allah akan dikupas pada posting lain

Bukankah mahasiswa itu, apabila sedar dirinya seorang Muslim, dia sedar juga akan kewajipan untuk melengkapkan agamanya. Haa, itulah jawapnnya.

Dan untuk mencapai ilmu agama ni, tidak mencukupi kalau kita sekadar tonton video di YouTube saja. Bahkan di YouTube, terlampau banyak video agama yang entah siapa saja yang menjelaskannya. Khuatir bila kita tidak tahu pengambilannya dari siapa, akan menyebabkan agama kita rosak

Memang tidak dinafikan, sudah mencukupi kalau kita pelajari satu saja kitab semata-mata untuk melepaskan yang fardhu dalam diri kita. Tapi percayalah, semakin kita pelajari ilmu agama, semakin kita ni dahaga dan lapar, kita nak lagi, sanggup merantau jauh, sanggup tak pergi lepak semata-mata untuk dapatkan ilmu agama

Plus, kalau kita sempitkan pengajian agama hanya kepada pelajar agama saja, berapa percentage orang bukan pelajar agama akan belajar agama? Sebab itu, tak salah, bahkan tak boleh dikatakan pelik jika seorang pelajar Kursus Kejuruteraan lebih pakar dalam bab Hadis berbanding dari seorang pelajar Kursus Hadis. Kerana semangat yang ada dalam diri seorang mahasiswa itulah yang membuatkan dirinya hebat

Bahkan, waktu daurah yang saya sertai baru-baru ini, hanya berapa kerat saja yang mempelajari agama di peringkat Universiti. Majoritinya, dari fakulti kejuruteraan, akaun, sains dan banyak lagi.

Salah seorang dari peserta di situ, Akhi Abdul Rahman, beliau merupakan seorang pelajar Biomedik di UIA Kuantan. Tetapi, telahpun khatam kitab fiqh yang tinggi, dan kitab tu bukannya dalam bahasa Melayu, tetapi dalam bahasa Arab. Mashaa Allah, boleh dikatakan idola. Cemerlang dunia, cemerlang akhirat

Dahagakan Ilmu bagaikan Dahagakan Air

Bila kita lihat keadaan di negara kita yang dicintai ini, penduduk kota, tak kira sama ada remaja, belia ataupun dewasa, semuanya sedang dahagakan sesuatu. Mengapa? Ini kerana bila jiwa kosong dari sesuatu pengisian, maka dia akan mencari sesuatu perkara yang boleh mengisi ruangnya

Sebab itu, tidak pelik jika seseorang itu boleh terima apa saja ideologi atau fahaman, tak kira apa saja namanya, baik yang menjurus ke arah perlakuan yang bermoral ataupun yang membawa individu kepada perlakuan yang bukan-bukan.

Tambahan pula, terlalu banyak gerakan-gerakan, persatuan dan seumpamanya yang bergerak mencari jiwa-jiwa yang kosong ini untuk mengisi ideologi mereka. Ada yang bagus, dan ada yang tidak bagus bahkan keji. Jadi, adalah lebih baik bagi seorang mahasiswa itu menghabiskan masa kosongnya dan meluangkan tenaganya untuk menuntut ilmu agama, tidak kiralah sama ada melalui medium talaqqi, usrah, majlis ilmu dan sebagainya, asalkan mahasiswa itu memiliki ilmu, bukan terhad kepada ilmu yang dipelajari di dewan kuliah saja

Jadi itulah pandangan saya yang faqir ini, bahawa tidak pelik sebenarnya jika kita dapati seorang pelajar yang bukan dari aliran agama dapat menguasai agamanya. Mudah-mudahan, kita dapat berterusan dalam mencari ilmu agama ini supaya dapat hidup dalam keadaan yang bahagia serta mendapat keredhaan Allah S.W.T

Wallahu a'lam
Hamdan Syakirin Md Saufi Al-Jauhari,
Kulai, Johor,
14/08/2017, 15:32

Comments

Popular posts from this blog

Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Dengan Nama Allah.