Syaitanlah Menjadi Gurunya
Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi, serta selawat dan salam ke atas Sayyidina Muhammad S.A.W serta ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari akhirat. Amma ba'du
Dalam posting pada kali ini, Al-Faqir akan mengupas serba sedikit mengenai suatu isu yang telah ditanyakan kepada saya. Salah seorang sahabat pernah bertanya, "Boleh ke kita baca kitab agama secara sendirian tanpa ada bimbingan dari guru?"
Semoga Allah merahmati sahabat saya yang bertanya.
Analogi Mudah
Agak panjang sedikit penjelasan mengenai perkara ini. Kita ambil satu analogi mudah. Kita ingin melombong emas. Hanya berbekalkan cangkul yang kecil, dulang dan ilmu yang sempit, bahasa mudahnya kita masih lagi amatur dalam bab melombong emas. Tetapi bandingkan pula dengan kita ini pergi melombong bersama dengan seorang yang memiliki kemahiran serta pengalaman yang luas, memiliki ramai pekerja, mewarisi ilmu melombong dari bapa dan para gurunya serta memiliki kelengkapan melombong yang amat canggih dan lengkap.
Antara dua situasi ini, yang manakah akan memberi kita hasil yang banyak? Sudah tentulah situasi yang kedua. Ha, itu baru saja dalam urusan dunia, inikan pula urusan akhirat yang mana amat bernilai di sisi Allah swt
Akan tetapi, ada juga displin sesetengah pelajar ilmu agama, mereka akan membaca terlebih dahulu kitab yang diajarkan oleh para guru mereka. Hal ini kerana mereka ingin menambah lagi kefahaman mereka atau ingin membetulkan pemahaman asal mereka apabila mereka membaca kitab tersebut. Maka dalam kes ini, tiada masalah seandainya kita membaca kitab tanpa berguru, iaitu dengan syarat, sebagai persediaan awal sebelum bertemu dengan guru untuk mempelajarinya
Zaman Dah Berubah, Dunia Sudah Maju
Mungkin ada di antara kita yang menyatakan, "alah, zaman dah berubah, akal makin maju, nak buat apa kita berguru? Buku/kitab kan sudah ada"
Di sini menggambarkan betapa kurangnya pemahaman kita terhadap nilai ilmu agama. Kita ambil analogi lain. Sebagai contoh, seseorang yang sangat minat dalam bidang perubatan, maka dia pun pergi ke perpustakaan dan membaca semua buku mengenai bidang tersebut. Tamat saja pembacaan beliau, maka adakah kita boleh percaya beliau untuk membedah kita?
Sudah pasti tidak. Maka begitulah analoginya. Disiplin dalam menuntut ilmu agama ini bukanlah terhad pada pelajar agama saja, bahkan kepada seluruh masyarakat awam. Tidak boleh dengan mudahnya kita membaca sesebuah kitab lalu membuat pemahaman kita tersendiri. Besar risikonya. Salah seorang dari guru saya, Al-Fadhil Ustaz Wan Ubaidillah menyatakan, apabila kita membaca sendiri, lebih banyak salahnya dari betul.
Bahkan betapa besarnya nilai ilmu itu, hingga para ulama' terdahulu menyatakan:
Barangsiapa yang gurunya adalah buku, maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya
Hal dunia, ilmu dunia serta segala yang disandarkan kepada dunia, memerlukan disiplinnya tersendiri. Sebagai contoh, jika kita ingin memiliki badan yang cantik, perlu disiplin dalam membina badan. Jika kita ingin memiliki sebuah syarikat yang besar, perlu kepada disiplin dalam pengurusan syarikat. Maka dalam hal agama, juga begitu, bahkan lebih memerlukan disiplin yang lebih tinggi dan ketat berbanding dari disiplin keduniaan.
Antaranya, haruslah seseorang itu memiliki guru yang sahih dalam menuntut ilmu. Sedangkan Baginda s.a.w pun berguru dengan Malaikat Jibril A.S, inikan pula kita yang amat lemah dan tidak maksum ini.
Ulama' Tidak Ma'sum!
Ulama' tidak maksum, ya betul, akan tetapi, mereka telah mendengar dan telah mempelajari dari guru mereka, yang telah mengambil ilmu dari guru kepada guru kepada guru, sehinggalah rantaian ilmunya bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w
Cuba kita baca sendiri kitab-kitab para ulama', barangkali bahasa yang mereka gunakan tidak mampu difahami oleh kita. Dan, boleh jadi juga tidak semua yang mereka tulis di dalam kitab mereka merupakan ilmu yang tersimpan dalam dada mereka. Maka tak lain dan tak bukan, apabila kita ingin mendapatkan ilmu secara maksima serta ada keberkatan dalam pembelajaran kita, haruslah dipelajari di hadapan para guru.
Yang Tidak Tercatat dalam Kitab
Ada satu istilah yang digunakan dalam disiplin ilmu agama, iaitu 'fawaid' atau 'faedah-faedah' dalam pembelajaran. Kata guru yang amat saya kasihi dan saya sanjungi, Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj Joll, Fawaid atau faedah ini tidak terdapat dalam kitab yang dikarang oleh para ulama' , cuma ia hanya terdapat dalam dada mereka, yang disampaikan dari satu guru kepada anak muridnya, seterusnya sampailah kepada kita. Kerana itu, tidak lain dan tidak bukan, haruslah kita duduk menuntut di hadapan para guru kita
Daripada kalimah yang amat berharga yang pernah disebutkan oleh para Masyaikh kita
Kalaulah bukan kerana jasa guruku, mana mungkin aku dapat mengenali Tuhanku
Maka begitulah pedoman bagi para penuntut ilmu. Fal hasil, tuntutlah ilmu sebelum ilmu itu diangkat kembali kepada Allah swt. Wallahu ta'aala a'lam
Comments
Post a Comment