Dunia

Apa sebenarnya milik kita?
Rumah yang kita diami,
Kenderaan yang kita guna,
Pakaian yang kita kenakan,
Adakah itu milik kita?

Berapa ramai yang mengejar dunia,
Sang hartawan mengejar kekayaan melalui perniagaannya,
Tidak memandang apa yang halal dan apa yang haram,
Bahkan sanggup menggadaikan agamanya,
Sebagai bahan jualan untuk kekayaannya,
Tetapi tidak satu pun yang bakal dia bawa ke alam sana

Berapa ramai yang mencintai dunia,
Sang remaja yang mentah serta mengejar rupa dan cinta,
Dihabiskan kudratnya untuk mencantikkan tubuhnya,
Sibuk mencantikkan wajahnya di hadapan manusia,
Tetapi amat hodoh di hadapan Tuhannya,
Habis terbazir umurmu wahai remaja,
Akhirnya dikau kembali dalam keadaan menyesal yang tak terhingga

Berapa ramai yang tertipu dengan dunia,
Mengejar pangkat dan takhta,
Adakah itu semua kekal selamanya?
Atau tamat pada suatu masanya juga?

Ramai yang ku lihat,
Bongkak dengan dunianya,
Menindas orang bawahannya,
Merasa dunia inilah segalanya,
Padahal mereka semua tertipu dengannya

Berapa ramai yang meninggalkan dunia,
Dalam keadaan menyesal serta hina,
Merayu-rayu kepada Tuhan agar dikembalikan semula,
Supaya dapat bertaubat dan memperbaiki amalnya,
Tetapi tidak, sama sekali tidak,
Itu hanyalah kata-kata yang dusta,
Sedangkan mereka semua telah diberi masa

Berapa ramai yang hampa akan dunia,
Dikejar tidak dapat,
Diikat lalu terlepas,
Dikunci tapi terbuka,
Tidak ada satupun bahagiannya di dunia,
Tetapi masih tamak dan sibuk mencarinya,
Bagaikan anjing yang rakus memakan tulang yang hancur

Tidak ramai yang sedar akan penipuan dunia,
Kerana dunia ini bagaikan seorang wanita,
Cantik paras rupanya,
Indah perwatakannya,
Putih serta berseri-seri kulitnya,
Tetapi,
Ia akan membunuh serta membutakan sesiapa saja yang tertipu dengannya

Sedarlah wahi insan,
Kita tidak diciptakan untuk dunia yang fana' ini,
Bahkan kita dicipta untuk syurga yang kekal abadi,
Di mana kita akan kekal tidak akan mati

Tetapi ingatlah wahai insan,
Kamu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Tuhan,
Melainkan dikau berjaya mengekang nafsu haiwan,
Dan menjauhkan diri dari tipu daya dunia,
Berhati-hatilah dalam pendakianmu ini,
Kerana perjalanan menuju Tuhan,
Bagaikan kamu berjalan di padang luas yang dipenuhi duri,
Dan kamu berjaga-jaga supaya tidak terkena pada kulitmu atau pakaianmu

Simpanlah dalam hatimu,
Kekalkanlah dalam akalmu,
Ingatlah dalam jiwamu,
Bahawa dunia ini akan tamat,
Dan dikau akan kembali bertemu dengan Tuhan,
Dengan segala amal yang telah dikau usahakan




Akhukum Fillah,
Al-Faqir Abi Ridha Al-Jauhari,
17/04/17,2307

Comments

  1. Harrah's Cherokee Casino & Hotel - JamBase
    Welcome 보령 출장샵 to 인천광역 출장안마 Harrah's Cherokee Casino & Hotel! Enjoy modern accommodations, world-class 포천 출장마사지 entertainment, delicious dining, 경주 출장마사지 and enjoyable 진주 출장안마 casino gaming at

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Lau La Murabbi, Ma 'Araftu Rabbi

Tazkirah Pendek: Keaiban

Bismillah, Dengan Nama Allah.